Saturday, November 29, 2008

Menulis!!!

Gurindam II
Ini gurindam pasal yang kedua:
Barang siapa mengenal yang tersebut,

tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
tidaklah mendapat dua temasya.
Barang siapa meninggalkan zakat,
tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
tiadalah ia menyempurnakan janji.

***

Cuba-cubalah menulis. Kata-kata sedemikian sering kali terlafaz apabila bertemu dengan kawan-kawan penulis. Malah ketua bahagian dan pengarah pun kerap kali berkata sedemikian. Dan kak lah sendiri pun banyak memberikan tip-tip yang baik untuk menulis (malah sudah pun memberi tajuk dan jalan cerita). Akan tetapi masih juga tidak jadi atau sudah tiap-tiap cerita. Ada penceramah kursus penulisan menegaskan bahawa bakat bukan perkara pertama dan penting dalam bidang penulisan. Yang paling utama ialah kerja keras. Namun aku ada bertanya kepada seorang penceramah, begini, apabila kita sudah ada tajuk dan ada cerita malah sudah ada pengakhirannya tetapi kita tersekat di tengah-tengahnya bagaimana tanyaku. Maka dia menjawab, kita balik kembali kepada bakat. Aku setuju dengan itu. Bakat merupakan satu anugerah. Namun cuba-cuba juga untuk menulis, sekurang-kurangnya entri ini dan blurb buku. Kalau semua jadi penulis siapa pula yang nak pembaca!!!

Tuesday, November 25, 2008

Seminar Puisi Tradisional

Gurindam I
Ini gurindam pasal yang pertama:
Barang siapa tiada memegang agama,
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang yang ma'rifat.
Barang siapa mengenal Allah,
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia,
tahulah ia barang yang terpedaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah Ia dunia mudarat.

Gurindam di atas merupakan sebahagian daripada gurindam 12 karangan Raja Ali Haji. Minggu ini aku menghadiri Seminar puisi melayu tradisional anjuran bahagian Kesusasteraan Tradisional, DBP. Secara kesimpulannya ia merupakan seminar yang perlu dibuat secara tahunan bagi mengenengahkan puisi tradisional. Tema kali ini berfokus pada pantun, nazam dan gurindam. Aku sangat berharap mungkin pada tahun hadapan dapat memfokuskan pula pada subjek teromba, talibun, mantera dan seumpamanya yang amat kurang pembahasannya. Dan satu lagi cadangan pertandingan pantun itu ditukar pula dengan pertandingan syair yang rata-rata ramai yang terpegun mendengarkan dendangan syair pada hari pertama seminar. Tahniah kepada sahabat Muzasliza kerana membentangkan kertas. Dan lagi satu, di seminar itulah aku mengetahui yang membentangkan kertas pada hari kedua itu rupa-rupanya isteri jiran yang sama-sama berjemaah di surau. Tahniah kepada staf bahagian Kesusasteraan Tradisional DBP.

Monday, November 24, 2008

Aku suka nak kongsikan satu cerita. Ceritanya begini, fasal satu buku. Buku novel, tajuknya, ha ini yang nak diceritakan tu. Tajuknya Tirani. Semua mesti nak tahu apa itu tirani. Mengikut Kamus Dewan begini maknanya:
tirani corak pemerintahan yg zalim (oleh pemimpin negara, puak, dll) yg menggunakan kekuasaan sesuka hati.
Novel Tirani itu pula menceritakan kisah tentang kecantikan. Ada yang bertanya apa kaitan kecantikan dengan tirani. Itu yang agak payah nak jelaskan. Tapi aku nak berkongsi lagi dengan lebih terperinci lagi perkataan tirani ini.
Tirani ialah istilah yang digunakan dalam sejarah untuk menggambarkan corak pemerintahan oleh seorang pemerintah yang mempunyai kuasa mutlak. Pada zaman Yunani purba, tirani bermaksud pemerintahan mutlak oleh seorang pemerintah. Kebanyakan tirani Yunani adalah pemerintahan yang baik dan bertanggungjawab. Istilah tirani boleh juga digunakan untuk merujuk kepada kerajaan yang diperintah oleh
pemerintah mutlak yang mendapat kuasa melalui kekerasan tentera atau muslihat politik. Pemerintah seperti ini tidak akan mendapat sokongan majoriti rakyat dan perlu menggunakan kekerasan untuk mengekalkan kekuasaan. Satu lagi maksud tirani ialah kerajaan yang menggambarkan seorang atau sekumpulan orang yang memerintah dengan kejam, menindas, atau tidak adil. Dalam kebanyakan kes, pemerintah seperti ini menggunakan kuasa untuk kepentingan diri. Pemimpin mutlak yang menggunakan kuasa mereka untuk mengaturkan cara hidup rakyat, boleh juga dinamakan tirani sekiranya dia menindas hak kebebasan rakyat. Kini, perkataan tirani biasanya digunakan untuk menggambarkan pemerintahan diktator. Lihat juga Pemerintahan diktator. (Ensiklopedia Dunia DBP)

Kesimpulannya, adakalanya tajuk sesebuah penerbitan itu amat memainkan peranan utama dalam memikat hati pembeli. Pilihlah tajuk yang agak luar biasa yang menyebabkan seseorang berminat ke atasnya. Dalam konteks novel Tirani, dari segi pemilihan tajuk agak bertepatan dengan kesimpulan di atas. Oleh itu, cubalah mencari buku tersebut dan jemputlah membacanya.

Thursday, November 20, 2008

Awal Kalam

Selalunya pertama dikaitkan dengan perkara-perkara yang indah dan menyeronokkan. Contohnya malam pertama (bestnya!!!), cinta pandang pertama, orang yang pertama dan macam-macam lagi. Maka orang akan bersungguh-sungguh untuk menghadapi yang pertama itu. Benarlah kata untuk jadi/mencari yang pertama itu amat sukar, payah, susah dan sebagainya. Tulisan membicarakan pertama inilah yang merupakan entri permulaan aku dalam blog ini. Terima kasih kepada rakan, Mar yang sudi melahirkan blog ini. Budi tuan tidakkan saya lupa. Tahniah Kak Lah dinobatkan Karyawan Terbaik.