Friday, July 10, 2009

Durian, manggis, rambutan ... pancing!

Bulan Julai ini dusun-dusun telah mengeluarkan hasilnya. Durian, manggis, rambutan, langsat antara buah yang banyak sekali dan mudah didapati. Masih teringat lagi suatu masa dulu musim langsat, jenuh perih memanjat pokoknya dan apabila peraih datang harga yang ditawarkan cuma 80 sen sekilo. Apakan daya kalau tak dijual akan buruk dan busuk pula buahnya. Nak tak nak ambil jugalah tawarannya. Bukan tak mahu bertekak dengan peraih, tetapi mengenangkan setiap dusun menguning dengan buah langsat terpaksa ditelan. Lainlah kalau dalam satu negeri Sembilan ini dusun aku saja yang ada buah langsat. Masa tu bolehlah sembelih peraih dengan RM5 sekilo! Durian pun begitu juga, sama. Masih teringat satu peristiwa dengan arwah atuk. Dulu masa musim durian selalu juga temankan atuk bermalam di pundung (pondok/dangau untuk menunggu durian). Pagi-pagi lagi sebelum mentari menampakkan sinar, peraih akan datang untuk mengambil durian. Keadaan masih samar. Peraih cuma tengok durian untuk memeriksa pecah atau kelompong. Lain tak sempat tengok. Atuk dengan Cina peraih telah kenal lama, dan selalu bertekak fasal harga durian. Pagi itu atuk sengaja nak kenakan peraih itu. Diambilnya empat lima buah durian yang besar dalam 1-3 kilo sebiji. Durian itu tidak cantik isinya. Cuma buahnya yang besar dan duri yang cantik. Datang peraih atuk senyum sambil menyerahkan durian tersebut. Tanpa bertekak atuk setuju sahaja harganya. Esoknya peraih itu marah-marah, tapi atuk jawab mudah; ala selalu tu kau yang kelentong aku, baru sekali aku balas balik. Atuk gelak panjang, Cina itu pun gelak juga.
Insya-Allah hujung minggu ini akan ke Pahang mencuba buah-buahan di sana. Bukannya suka sangat durian pun tapi ada yang menarik di situ. Kata isteri, situ ada kolam. Sambil tunggu program diatur, bolehlah melabuhkan pancing. Cantikkkk.

Friday, July 3, 2009

Kadang-kadang...

Kadang-kadang kita mengisi hidup ini bagaikan kita akan kekal memilikinya. Kita memerah keringat akal dan fizikal demi hidup yang pasti lebur ini. Keluar sebelum sang mentari menebarkan sinar hangatnya demi mencari keselesaan dan tuntutan duniawi. Tak balik selagi sang mentari belum turun menggelapi bumi ini. Semua itu demi mencari sesuatu yang sememangnya tidak akan kekal abadi. Lalu kita lupa, kita yang kerdil ini; mengapa kita ada di sini. Untuk apa kita dipinjamkan sebentar di sini. Beruntunglah bagi mereka yang memahami.