Thursday, July 28, 2011

Bersyukurlah

Nasib orang tidak sama. Ada yang susah. Ada yang lebih susah. Ada yang berganda-ganda susah. Kita sering mengukur diri dengan orang lain dengan indikator "kekurangan". Kita melihat apa kelebihan orang, yang kita tidak memilikinya. Percayalah sehingga akhirnya, kita tidak akan dapat apa-apa kerana kita berusaha untuk melebihi apa yang orang lain ada. Sebetulnya perbandingan dibuat dengan melihat apa yang kita ada, tiada pada orang lain. Dengan itu, sifat syukur akan terbit dalam hati. Keinsafan akan datang dengan sendiri. Mulut akan sentiasa memuji Allah atas kurniaan yang diberi.

Monday, February 21, 2011

Kadang-kadang ii

Kadang-kadang kita cuba untuk menjadi orang lain. Kita sering berangan dengan menyatakan “wah bagus betul kalau macam ni”. Natijahnya kita cuba untuk mengikuti seseorang yang dianggap “bagus” itu. Semasa kecil kita kerap kali ditanyai, “Siapa yang menjadi minat kamu?” Selalunya kita membariskan pelbagai nama pemimpin (paling kerap bercita-cita ingin menjadi Perdana Menteri). Namun kita terlupa bahawa itu semua merupakan satu rangsangan yang kalau dikira peratusan kejayaannya mengubah seseorang tidaklah lebih daripada 20-30 peratus. Mengapa kita tidak menjadi diri kita sendiri? Mengapa kita tidak bangga dengan diri kita? Mengapa kita perlu mengikut atur cara orang lain untuk kehidupan seharian kita dan mengapa kita tidak menjadi diri kita yang sebenarnya.

Monday, November 30, 2009

November Yang Tidak Didugakan

Bermula awal September hingga sekarang, aku dengan Nasrul (ipar) begitu maksyuk dengan memancing. Memang dari dulu kami memang memiliki hobi yang sama ini. Kini semenjak dua tiga menjak ni banyak pelaburan yang telah diberikan kepada kolam pancing dan kedai pancing (termasuk stesen minyak!). Bukan apa kami begitu seronok apabila dapat membaling umpan ke dalam air. Mendengar bunyi jatuhan umpan serasa mendamaikan jiwa. Belum lagi bunyi mesin pancing ditarik ikan, pasti kalau diberi RM10 pun belum tentu pancingan bertukar tangan. Si Nasrul ini betul-betul ‘otai’ pancing. Dari semurah pancing hinggalah yang mencecah RM500++. Cakap kolam mana yang kami tak tahu. Dari Semenyih hinggalah ke Rawang. Pantang kami mendengar ikan masuk (jadual ikan masuk bukannya hari tu ikan masuk kolam hari tu juga kami pancing tapi kami basikan masa empat ke lima hari). Ikan yang baru dimasukkan itu masih pening dan belum mahu menjamah umpan. Ada dapat ikan? Itulah soalan klise yang ditanyakan kepada seorang pemancing. Aku berani jamin, dapat ikan itu perkara kedua. Yang paling pentingnya dapat memancing! Itulah nikmat bagi seorang pemancing. Pernah suatu ketika kami mendapat 25 ekor ikan rohu (ikan ini kalau kena pancing ala-ala marlin aksinya). Baling umpan dapat ikan. Kira satu umpan satu ikan. Pernah juga kami tak dapat ikan. (Ikan pun pandai puasa). Namun rata-rata kalau kami pergi tu ada dapat satu dua ekor. Orang rumah! Hush tak usah cakap. Hobi ini kurang sesuai dengan jiwanya (belum lagi rasa penangan rohu tu). Selalu tarik muncung panjang bila sebut nak pergi memancing. Suka tak suka aku redah aje.

Friday, November 6, 2009

Pandangan

Tuhan itu maha Adil. Ada yang diberi-Nya kenikmatan dan sebaliknya. Namun apa pun yang diberikan-Nya itu adalah sebagai satu ujian sama ada kita ini termasuk dalam golongan yang bersyukur atau kufur. Rata-ratanya kita memandang kehebatan wang ringgit serta pangkat dalam memberikan nilai kepada seseorang. Akan tetapi kita terlupa bahawa Allah menyembunyikan karamah @ kewalian seseorang. Justeru, janganlah kita memandang serong sang pengemis, dan mengangkat tinggi seorang yang berpangkat, kerana mungkin pengemis tersebut merupakan wali pilihan Allah.

Tuesday, September 15, 2009

Apa Yang Penting: KERJASAMA

Pernah tengok cerita "Gaban"? Antara ayat yang masih aku ingat ialah "Gaban mengambil masa 0.08 saat untuk bertukar. Fuhh cepat sangat. Nak bagi tahu kami, sepasukan kerahan tenaga sedang bertungkus lumus menyiapkan satu projek. Nak tak nak terima juga walaupun dah nak raya ni (kalau tak siap tak boleh raya!). Apapun yang aku dapat pengajarannya ialah kerjasama itu sangat penting. Tanpa kerjasama kerja tak jalan dan buku tak siap. Cuma ... bila dah namanya kerjasama perlulah kita mengambil kira pandangan orang lain bukannya kita je yang syok sendiri. Semoga projek tersebut berjaya disiapkan mengikut jadual.

Friday, September 4, 2009

Hasilan bulan September


Kumpulan Drama Cinta Seorang Genius
Pengarang: Mahizan Husain
Harga: RM47
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Ulasan: Buku ini mengandungi empat buah drama i) "Cinta Seorang Genius" yang mengisahkan cita-cita seorang anak muda yang mahu mencipta sesuatu yang besar dan hebat. Dalam pada masa yang sama dia terlibat dalam pertelingkahan antara dua puak kongsi gelap Cina. ii) Drama "Orang Hidup" mengisahkan ahli Kelab Orang Hidup. Signifikannya kelab ini adalah untuk orang putus asa dan cenderung untuk membunuh diri. iii) Drama "Lentera Merah" cuba mengungkap jiwa seorang wartawan muda dalam mencari haluan dalam zaman penjajahan. iv) Drama "Babil" memaparkan hubungan kasih sayang yang dipertemukan dalam keadaan yang tidak dijangka sama sekali.
Kekuatan kumpulan drama ini ialah kebanyakan skrip tersebut merupakan karya yang telah memenangi pertandingan menulis skrip drama anjuran FINAS.

Wednesday, August 26, 2009

Sg Kerian




Dulu-dulu bila balik kampung isteri, tak berapa perasan ada sungai yang besar. Dipanggil Sg. Kerian. Hanya pada awal tahun yang lalu, aku mula berkenalan dengan tebing sungai ini. Kata orang di sungai ini banyak udang galah. Bila banyak udang, adalah 'orang tua' tu. Aku tidak berani sangat menghampiri tebingnya. Gambar ini diambil ketika cuti sambut Ramadan minggu lalu. Nampak tak payung tu. Kerana sepanjang hari di sana, hujan! Gambar lagi satu tu bila air sungai pasang! Hasilnya, lihatlah gambar yang disertakan.