Monday, November 30, 2009

November Yang Tidak Didugakan

Bermula awal September hingga sekarang, aku dengan Nasrul (ipar) begitu maksyuk dengan memancing. Memang dari dulu kami memang memiliki hobi yang sama ini. Kini semenjak dua tiga menjak ni banyak pelaburan yang telah diberikan kepada kolam pancing dan kedai pancing (termasuk stesen minyak!). Bukan apa kami begitu seronok apabila dapat membaling umpan ke dalam air. Mendengar bunyi jatuhan umpan serasa mendamaikan jiwa. Belum lagi bunyi mesin pancing ditarik ikan, pasti kalau diberi RM10 pun belum tentu pancingan bertukar tangan. Si Nasrul ini betul-betul ‘otai’ pancing. Dari semurah pancing hinggalah yang mencecah RM500++. Cakap kolam mana yang kami tak tahu. Dari Semenyih hinggalah ke Rawang. Pantang kami mendengar ikan masuk (jadual ikan masuk bukannya hari tu ikan masuk kolam hari tu juga kami pancing tapi kami basikan masa empat ke lima hari). Ikan yang baru dimasukkan itu masih pening dan belum mahu menjamah umpan. Ada dapat ikan? Itulah soalan klise yang ditanyakan kepada seorang pemancing. Aku berani jamin, dapat ikan itu perkara kedua. Yang paling pentingnya dapat memancing! Itulah nikmat bagi seorang pemancing. Pernah suatu ketika kami mendapat 25 ekor ikan rohu (ikan ini kalau kena pancing ala-ala marlin aksinya). Baling umpan dapat ikan. Kira satu umpan satu ikan. Pernah juga kami tak dapat ikan. (Ikan pun pandai puasa). Namun rata-rata kalau kami pergi tu ada dapat satu dua ekor. Orang rumah! Hush tak usah cakap. Hobi ini kurang sesuai dengan jiwanya (belum lagi rasa penangan rohu tu). Selalu tarik muncung panjang bila sebut nak pergi memancing. Suka tak suka aku redah aje.

Friday, November 6, 2009

Pandangan

Tuhan itu maha Adil. Ada yang diberi-Nya kenikmatan dan sebaliknya. Namun apa pun yang diberikan-Nya itu adalah sebagai satu ujian sama ada kita ini termasuk dalam golongan yang bersyukur atau kufur. Rata-ratanya kita memandang kehebatan wang ringgit serta pangkat dalam memberikan nilai kepada seseorang. Akan tetapi kita terlupa bahawa Allah menyembunyikan karamah @ kewalian seseorang. Justeru, janganlah kita memandang serong sang pengemis, dan mengangkat tinggi seorang yang berpangkat, kerana mungkin pengemis tersebut merupakan wali pilihan Allah.

Tuesday, September 15, 2009

Apa Yang Penting: KERJASAMA

Pernah tengok cerita "Gaban"? Antara ayat yang masih aku ingat ialah "Gaban mengambil masa 0.08 saat untuk bertukar. Fuhh cepat sangat. Nak bagi tahu kami, sepasukan kerahan tenaga sedang bertungkus lumus menyiapkan satu projek. Nak tak nak terima juga walaupun dah nak raya ni (kalau tak siap tak boleh raya!). Apapun yang aku dapat pengajarannya ialah kerjasama itu sangat penting. Tanpa kerjasama kerja tak jalan dan buku tak siap. Cuma ... bila dah namanya kerjasama perlulah kita mengambil kira pandangan orang lain bukannya kita je yang syok sendiri. Semoga projek tersebut berjaya disiapkan mengikut jadual.

Friday, September 4, 2009

Hasilan bulan September


Kumpulan Drama Cinta Seorang Genius
Pengarang: Mahizan Husain
Harga: RM47
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Ulasan: Buku ini mengandungi empat buah drama i) "Cinta Seorang Genius" yang mengisahkan cita-cita seorang anak muda yang mahu mencipta sesuatu yang besar dan hebat. Dalam pada masa yang sama dia terlibat dalam pertelingkahan antara dua puak kongsi gelap Cina. ii) Drama "Orang Hidup" mengisahkan ahli Kelab Orang Hidup. Signifikannya kelab ini adalah untuk orang putus asa dan cenderung untuk membunuh diri. iii) Drama "Lentera Merah" cuba mengungkap jiwa seorang wartawan muda dalam mencari haluan dalam zaman penjajahan. iv) Drama "Babil" memaparkan hubungan kasih sayang yang dipertemukan dalam keadaan yang tidak dijangka sama sekali.
Kekuatan kumpulan drama ini ialah kebanyakan skrip tersebut merupakan karya yang telah memenangi pertandingan menulis skrip drama anjuran FINAS.

Wednesday, August 26, 2009

Sg Kerian




Dulu-dulu bila balik kampung isteri, tak berapa perasan ada sungai yang besar. Dipanggil Sg. Kerian. Hanya pada awal tahun yang lalu, aku mula berkenalan dengan tebing sungai ini. Kata orang di sungai ini banyak udang galah. Bila banyak udang, adalah 'orang tua' tu. Aku tidak berani sangat menghampiri tebingnya. Gambar ini diambil ketika cuti sambut Ramadan minggu lalu. Nampak tak payung tu. Kerana sepanjang hari di sana, hujan! Gambar lagi satu tu bila air sungai pasang! Hasilnya, lihatlah gambar yang disertakan.


Thursday, August 13, 2009

4

1. Lama tak mengemaskinikan blog sampai orang suruh tutup aje. Orang nak berblog awak nak berblog, blog orang hari-hari kemas kini, blog awak harammm. Bila tengok blog orang cantik dengan lukisan dan bunyi, awak pun nak buat begitu, tapi tak pandai!
2. Kadang-kadang kita ingat apa yang kita buat/kata, kita anggap orang yang mendengar itu sefahaman maksudnya dengan kita, akan tetapi sebaliknya. Moral yang pertama, berterus teranglah...
3. Allah memberikan ganjaran buruk kepada semua orang (tak kira baik atau sangat tidak baik) oleh itu marilah kita bermohon supaya dijauhkan wabak itu "Ya Allah, Tuhan yang mendatangkan wabak, kami mohon lenyapkanlah wabak ini, sesungguhnya Engkaulah Tuhan pemilik segala-galanya".
4. Tahniah kepada kumpulan Kak Yan yang menjayakan wacana intelektual!

Friday, July 10, 2009

Durian, manggis, rambutan ... pancing!

Bulan Julai ini dusun-dusun telah mengeluarkan hasilnya. Durian, manggis, rambutan, langsat antara buah yang banyak sekali dan mudah didapati. Masih teringat lagi suatu masa dulu musim langsat, jenuh perih memanjat pokoknya dan apabila peraih datang harga yang ditawarkan cuma 80 sen sekilo. Apakan daya kalau tak dijual akan buruk dan busuk pula buahnya. Nak tak nak ambil jugalah tawarannya. Bukan tak mahu bertekak dengan peraih, tetapi mengenangkan setiap dusun menguning dengan buah langsat terpaksa ditelan. Lainlah kalau dalam satu negeri Sembilan ini dusun aku saja yang ada buah langsat. Masa tu bolehlah sembelih peraih dengan RM5 sekilo! Durian pun begitu juga, sama. Masih teringat satu peristiwa dengan arwah atuk. Dulu masa musim durian selalu juga temankan atuk bermalam di pundung (pondok/dangau untuk menunggu durian). Pagi-pagi lagi sebelum mentari menampakkan sinar, peraih akan datang untuk mengambil durian. Keadaan masih samar. Peraih cuma tengok durian untuk memeriksa pecah atau kelompong. Lain tak sempat tengok. Atuk dengan Cina peraih telah kenal lama, dan selalu bertekak fasal harga durian. Pagi itu atuk sengaja nak kenakan peraih itu. Diambilnya empat lima buah durian yang besar dalam 1-3 kilo sebiji. Durian itu tidak cantik isinya. Cuma buahnya yang besar dan duri yang cantik. Datang peraih atuk senyum sambil menyerahkan durian tersebut. Tanpa bertekak atuk setuju sahaja harganya. Esoknya peraih itu marah-marah, tapi atuk jawab mudah; ala selalu tu kau yang kelentong aku, baru sekali aku balas balik. Atuk gelak panjang, Cina itu pun gelak juga.
Insya-Allah hujung minggu ini akan ke Pahang mencuba buah-buahan di sana. Bukannya suka sangat durian pun tapi ada yang menarik di situ. Kata isteri, situ ada kolam. Sambil tunggu program diatur, bolehlah melabuhkan pancing. Cantikkkk.

Friday, July 3, 2009

Kadang-kadang...

Kadang-kadang kita mengisi hidup ini bagaikan kita akan kekal memilikinya. Kita memerah keringat akal dan fizikal demi hidup yang pasti lebur ini. Keluar sebelum sang mentari menebarkan sinar hangatnya demi mencari keselesaan dan tuntutan duniawi. Tak balik selagi sang mentari belum turun menggelapi bumi ini. Semua itu demi mencari sesuatu yang sememangnya tidak akan kekal abadi. Lalu kita lupa, kita yang kerdil ini; mengapa kita ada di sini. Untuk apa kita dipinjamkan sebentar di sini. Beruntunglah bagi mereka yang memahami.

Tuesday, May 26, 2009

Biru

11.30 malam 8 Mei lalu bergeraklah kami seramai 16 orang dengan 4 buah kereta menuju ke destinasi yang telah dirancangkan. Acara dimulai dengan berkumpul di surau dengan membawa peralatan masing-masing. Dengan langkah memuji nama Allah aku mengunci pintu setelah menitipkan kucupan selamat tinggal kepada kedua-dua puteri dan puteri dan isteri tersayang. Sesampainya di surau, rakan2 lain sedang memuatkan barangan di dalam kenderaan. Sejurus doa, maka bergeraklah keempat2 buah kenderaan itu dalam kepekatan malam. Destinasi pertama singgah di kawasan rehat dan rawat Gambang. Jarum jam menandakan angka 3.30 pagi. Kedai banyak yang tutup. Kami semua menikmati secawan kopi panas dan nasi lemak. Aku sekadar minum teh o suam. Empat puluh lima minit kemudian kami meneruskan perjalanan. Aku lihat Haji Razif dah tidur, begitu juga dengan Anwar hanya aku yang menemani Haji Nasir yang tak tidur (sebab dia pemandu). Kami melalui Universiti Malaysia Pahang. Jam 5.30 pagi barulah kami tiba di Masjid Jamik Kuala Pahang. Suasana dingin laut jelas terasa memandangkan bersebelahan dengan masjid tersebut merupakan jeti LKIM Kuala Pahang. Usai solat subuh, ada rakan2 lain yang mandi. Semua bersarapan di warung sebelah masjid. Kira-kira pukul 8.45 pagi sampailah kami ke acara yang utama. Kelihatan dua buah bot; satu besar dan satu sederhana menghampiri jeti. Haji Razif telah memastikan bahawa itu adalah bot kami dalam ekspedisi ini. Aku, Anwar, Haji Nasir, Haji Razif, Khalid serta dua orang kawan Haji Razif mula memunggah peralatan ke dalam bot. Kami dibantu oleh tekong dan pembantunya. Rakan2 lain menuju ke bot besar. Berbekalkan selawat dan doa, aku menjejakkan kaki ke lantai bot. Enjin dihidupkan dan berlayarlah kami mengikut tekong. Subhanallah maha suci-Mu ya Allah, aku melihat kejernihan air laut yang membiru. Bermulalah rancangan kami yang telah disusun dua tiga minggu sebelumnya; aktiviti memancing.

Friday, May 1, 2009

1.13

Selamat Hari Pekerja. Hari ini bersembahyang Jumaat di Surau al-Mujahidin BBB. Khutbah yang sangat menarik. Khatibnya rasa2 macam seorang bekas pensyarah. Nanti nak tanya jiran siapa namanya. Sepuluh minit yang pertama dia mengupas persoalan yang biasa dinyatakan oleh seseorang khatib dalam setiap khutbah Jumaat, keperluan bertakwa kepada Allah. Kebanyakan masjid yang telah saya pergi, khatibnya sekadar menyebut ayat "Bertakwalah kita dengan sepenuh-penuhnya..." akan tetapi pada kali ini khatibnya mengupas mengapa setiap Jumaat itu perlu diperingatkan jemaahnya akan kalimah tersebut. Apa yang menariknya, khatib mengajak jemaah berfikir mengapa kalimah takwa itu disebut di dalam rumah Allah sedangkan yang jemaahnya memang sudah mempunyai sifat tersebut. Tanpa takwa jemaah tidak akan datang ke masjid, mendengar khutbah dan seterusnya menunaikan solat Jumaat. Khatib menghuraikan bahawa takwa memang perlu diingatkan di mana-mana kita berada. Kerana apa? Jawab yang mudah kerana musuh manusia tidak pernah lupa untuk menyesatkan manusia daripada jalan yang benar. Siapa musuh manusia? Tentulah iblis laknatullah. Sepuluh minit yang kedua, khatib membicarakan makna tanggungjawab manusia di hantar ke muka bumi ini. Ada dua tanggungjawab khalifah Allah, iaitu membangunkan bumi dan yang keduanya, membangunkan sifat-sifat kasih sayang, kebajikan, dan segala sifat2 yang terpuji. Yang aku amat tertarik ialah khatib menggunakan perkataan kebumian. Seperti frasa tanggungjawab2 kebumian yang maksudnya tanggungjawab manusia kepada muka bumi ini.
Khutbah kedua khatim membawa cerita seorang wanita di madinah pada zaman Nabi. Dalam keadaan kota Madinah yang seluruh penduduknya taat dan patuh dengan amalan Islam tambahan lagi dengan bimbingan secara langsung daripada Baginda Rasulullah, wanita tersebut telah berjumpa Nabi membuat pengakuan bahawa dia telah berzina. Nabi tidak memandang wanita tersebut dan menyuruhnya pulang. Wanita tersebut mengatakan bahawa dia telah mengandung dan minta dihukum. Nabi menyuruh wanita tersebut pulang dan lahirkan anak itu dahulu. Sesudah melahirkan wanita itu datang lagi berjumpa Nabi meminta dihukum. Nabi menyuruh lagi dia pulang untuk menyusukan anak kecilnya itu. Sesudah anaknya itu berhenti menyusu, dia datang lagi berjumpa Nabi meminta dihukum. Di sini kita lihat bahawa wanita tersebut benar2 menyesali perbuatannya walaupun dia berpeluang untuk melarikan diri kerana suruhan2 Nabi sebelumnya. Akhirnya wanita tersebut dijatuhkan hukuman rejam. Waktu Nabi ingin menyembahyangkan jenazahnya Umar telah menegah baginda dengan mengatakan bahawa wanita tersebut seorang penzina. Baginda menyuruh Saidina Umar diam dan mengatakan bahawa dengan taubat wanita tersebut sebanyak 70 taubat orang penduduk Madinah telah diterima Allah.
Banyak peringatan yang amat penting dalam solat Jumaat kali ini. Khatib berjaya membawa tugas yang diamanahkan. Semoga khatib tersebut diberi rahmat kesihatan dan kemurahan rezeki kepadanya.

Friday, April 3, 2009

Dot, dot, dot

Lama tak menjenguk rumah. Mungkin ada jin yang dah tinggal. Kena baca al Baqarah satu juz. Macam nak pindah pejabat dulu. Tujuh lapan orang kena baca al-Baqarah atas pentas mohon jauhkan jin-jin yang sedang duduk di situ. Tapi ini rumah alam maya. Hidup dan matinya tiada. Cuma tuannya yang bernyawa. Aku suka dengan ayat seorang teman “sibuk tahap gaban!” Asyik baca dot-dot hitam dengan sebatang pen biru di tangan!
Alih-alih rindu rumah maya. Bukan sekadar untuk tinggalkan luahan tetapi ia lebih satu semangat. Di rumah itu segala sendi rasa dapat direhatkan. Di rumah itu segala pening fikiran dapat dipanadolkan. Sebentar cuma. Lepas jenguk rumah kembali pula pada dot-dot hitam itu (meminjam istilah teman). Apa pun kepada teman itu ... pasrahlah kita dengan Qada dan Qadar Tuhan. Ribuan hikmat akan diperlihatkan Tuhan!

Thursday, March 12, 2009

Banyak Kerja

Memang kerja tak pernah habis. Habis kerja bila kita dah menutup mata dan tak bangun-bangun lagi. Kerja dunia habis la tapi kerja yang alam satu lagi tu??? Dua tiga minggu ini memang sibuk dengan kerja. Rasmi tak rasmi sama saja. Kerja di pejabat kadang-kadang kena bawa balik ke rumah. Tapi tak mengapa. Anggaplah itu sebagai bayaran balik masa yang terguna untuk peribadi ketika di pejabat. Hidup tanpa kerja sesuatu yang janggal. Orang semua gopoh-gapah ke pejabat kita pula sedap menengok orang yang tergopoh-gapah itu. Tapi masih ada orang yang bekerja tapi tak buat kerja. Apa pun moga-moga kerja yang kita lakukan itu diredai Allah. Nak sambung kerjaaa.

Sunday, March 1, 2009

Kerna Terpaksa....

Membuat sesuatu yang kita tidak suka. Itu paksaan namanya. Secara paksa rela atau memang terpaksa, hakikatnya perkataan ‘paksa’ itu memang sudah tertera. Apakah akan kita lakukan sesuatu perbuatan itu sama ada kita sukarela atau paksa rela? Apakah sama hasilnya sesuatu pekerjaan yang dibuat secara terpaksa atau dibuat dengan hati yang tulus ikhlas. Pasti berbeza! Nah ramai orang berkata perkara yang dilakukan secara rela itu akan lebih hebat hasilnya. Namun, ada juga yang kena paksa dulu barulah perkara/kerja yang dilakukan itu berjaya! Anda yang bagaimana?

Monday, February 23, 2009

Kalimah

Kerana perintah Allah dan untuk sukakan Allah, saya berpesan kepada diri saya dan sahabat-sahabat semua, lailahaillah, tiada tuhan selain Allah, tiada yang berkuasa melainkan Allah, tiada yang memberi rezeki melainkan Allah, tiada yang memberikan kita bahagia derita melainkan Allah, tiada yang mendatangkan musibah dugaan melainkan atas kuasa Allah, tiada yang menghidupkan mematikan melainkan Allah. Dan saya berpesan kepada diri saya dan sahabat semua, kita taat perintah Allah kita akan berjaya, sebaliknya jika kita langgar perintah Allah kita akan gagal. Masukkanlah kalimah lailahaillah ke dalam hati kami semua.

Tuesday, February 3, 2009

kepercayaan vs Keyakinan

Ia merupakan satu situasi. Bermula begini. Anda sedang memandu pulang daripada sebuah pasar raya. Untuk sampai ke rumah, anda akan melalui sebuah padang bola sepak. Ketika melalui padang tersebut, anda mendapati padang tersebut penuh sesak dengan kereta dan orang ramai. Anda tertanya-tanya. Sifat ingin tahu anda memuncak dan anda mengambil keputusan untuk ikut serta. Nasib anda baik kerana terdapat satu ruang kosong untuk meletakkan kenderaan. Dengan langkah yang laju anda menuju ke tempat orang ramai berkumpul. Dalam keadaan yang bersesak-sesak itu, anda dapat melihat seorang lelaki dari negara asing sedang berdiri tegap sambil memegang busur. Dalam jarak yang kira-kira 20 meter kelihatan seorang lelaki memakai lengkap baju berwarna putih. Di atas kepalanya terletak sebiji epal merah. Oh, rupa-rupanya pertunjukan ini yang menyebabkan ramai orang datang. Si pemanah mengangkat busurnya. Ratusan orang berada dalam keadaan sunyi. Tanpa berlengah si pemanah terus melepaskan anak panah. Ada dua tiga orang sedikit menjerit. Anak panah terlekat pada epal merah itu. Orang ramai bertepuk gamat. Ia tidak habis di situ. Si pemanah terus mengambil jarak. Kali ini kira-kira 60 meter. Sama sahaja perbuatannya seperti yang kali yang pertama tadi, cuma si pemanah mengambil masa dua tiga minit untuk membidik sasaran. Anak panah dilepaskan dan menuju tepat ke sasaran. Sekali lagi epal merah terlekat anak panah tersebut. Lelaki berbaju putih itu kelihatan lega. Penonton bertepuk gemuruh. Kali yang ketiga, si pemanah mengambil jarak dalam lingkungan 100 meter. Agak lama mengambil masa untuk melepaskan anak panah. Seperti yang pertama dan kedua, anak panah yang ketiga ini melekat pada epal merah tersebut. Semua penonton berasa kagum atas kehebatan si pemanah itu. Dan anda sendiri percaya atas kehebatan si pemanah itu. Tanpa diduga si pemanah menawarkan anda supaya menggantikan tempat lelaki berbaju putih tadi dan dia akan memanah dalam jarak 20 meter. Saya pasti anda tidak akan menerima tawarannya. Mengapa? Anda percaya bahawa si pemanah itu merupakan seorang yang hebat. Panahannya tepat menuju sasaran. Akan tetapi mengapa anda tidak mahu. Pastinya anda belum yakin dengan si pemanah tadi. Begitulah kita dalam ehwal beragama. Ramai yang percaya tetapi tiada keyakinan untuk menjalankan perintah dan larangan Allah. Kita percaya syurga dan neraka itu wujud, akan tetapi kita masih tidak yakin nikmat syurga dan azab neraka itu akan kekal selamanya buat kita.

Wednesday, January 28, 2009

Tunang Tuk Dukun

Hujung minggu lalu menghadiri majlis pertunangan saudara lelaki dengan lawannya di kampung sebelah. Syukur kerana kali ini dapat orang sekampung tidaklah perlu memikirkan sangat kos petrol dan tol. Sesampai di rumah pihak perempuan rombongan kami disambut gerimis tebal. Terus masuk ke dalam rumah. Pihak kami terus memulakan majlis. Jurucakap kami (kebetulan menjadi bidan terjun) terus membuka jalan menyuarakan hasrat. Alhamdulillah perjalanan teratur dan aku dijemput membacakan doa. Dan selepas itu kami dijemput menjamu selera. Cuma yang agak kurang menyenangkan bagiku ialah dara yang telah/akan ditunangkan itu memakai baju lengkap macam pengantin mungkin siap jurusolek lagi. Kenapa begitu? Kan lebih elok pakai baju kurung. Lebih manis begitu. Ini belum lagi cerita bergambar dengan tunang lelaki!

Wednesday, January 21, 2009

Orang itu

Selalunya kita membuat sesuatu keputusan awal (belum muktamad) berdasarkan apa yang telah kita dengar tentang seseorang melalui orang lain. Dan apa yang kita dengar itu (melalui orang lain) yang terpahat kukuh dalam ingatan kita ialah keburukan orang itu walaupun begitu banyak kebaikannya. Dalam agama, kita disarankan bersangka baik dalam setiap perkara. Yang buruk-buruk itu semuanya jarum-jarum syaitan. Tanggapan kita terhadap seseorang yang belum kita kenali itu kebanyakannya menjurus kepada benda yang negatif. Hakikatnya, perkara tersebut amat bertentangan malah tidak benar sama sekali andai kita telah bersua/bertemu dengan orang itu. Yang utama ingin ditegaskan di sini, simpanlah sedikit tanggapan yang positif terhadap seseorang kerana sesungguhnya Allah jua yang mengaturkan sesuatu.

Monday, January 19, 2009

Ayat

a) Juriah yang tertidur di atas kaus lusuh terjaga apabila mendengar pintu rumah dibuka.
Dia duduk di kaus membuka stoking.
Juriah tersenguk-senguk di atas kaus menunggu Ardi.

Rata-rata pembaca akan mentafsir makna kaus itu sebagai kasut atau stoking. Namun ayat di atas bukan salah. Agak-agak apa makna kaus itu ya!

b) Dia membuka mata dan nampak mata pisau yang ditekan kuat pada kulit lengannya berdarah

Ayat b) di atas mengikut pola kegramatisan ayat dalam bahasa Melayu namun ... ada sesiapa boleh komen???

Wednesday, January 14, 2009

Doa

Ya Allah Tuhan Seluruh Alam
Segala puji-pujian buat-Mu Tuhan yang menciptakan
Sesungguhnya kami menginsafi tujuan dan tanggungjawab kami diciptakan
Hanya membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Ya Allah Tuhan yang mendatangkan kebaikan dan keburukan
Kami ini tiada kuasa melawan kudrat-Mu
Kami ini tiada harta melawan kekayaan-Mu
Sesungguhnya kami ini hanya hamba yang selayaknya mengerjakan apa jua perintah-Mu
Maka oleh sebab itu ya Allah, kami pohon akan kekuatan daripada-Mu untuk kami mengerjakan amal soleh
kami pohon akan kemudahan dalam hidup
kami pohon kesejahteraan di dunia dan di akhirat
kami pohon akan keberkatan dalam rezeki
kami pohon sifat takwa, tunduk dan khusyuk dalam beribadah kepada-Mu.

Ya Allah kami reda atas ketentuan kami sebagaimana yang telah Engkau
firmankan melalui ayat-ayat-Mu
Datangkanlah sifat takwa dalam diri kami kerana dengannya Engkau
memberikan jalan keluar
Dengan takwa juga Engkau memberikan rezeki kepada kami tanpa kami
menyedari
Kami juga bertawakal kepada-Mu kerana barang siapa yang bertawakal
nescaya Engkau akan mencukupkan keperluannya.
Sesungguhnya Engkau melaksanakan urusan yang Engkau kehendaki
Sesungguhnya Engkau telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

Ya Allah Tuhan yang Maha Penyayang
Bantulah saudara-saudara kami yang kesusahan di Palestin
Hancurkanlah ikatan tentera Zionis sebagai mana Engkau menghancurkan
tentera Abrahah
Berikanlan kekuatan kepada umat Islam Palestin dalam menghadapi derita
peperangan
Kepada-Mu kami mohon perkenan.

Wednesday, January 7, 2009

Promosi! Promosi! Promosi!

Untuk cuti yang selama 10 hari, aku membawa tiga buah novel untuk dibaca. Orang Kota Baru (SN S. Othman Kelantan), Cerita Adam (Baharuddin Kahar) dan Jalan Pulang (Anas K. Hadimaja). Antara ketiga-tiga tersebut hanya Orang Kota Baru dan Cerita Adam berjaya kuhabiskan. OKB memaparkan kisah negeri Kelantan (jika anda anak kelahiran Tanah Serendah Sekebun Bunga Cerang Tenggayung semestinya anda memiliki buku ini!) yang boleh dikatakan diceritakan secara menyeluruh sekali. Dengan cerita pasarnya, sonya pemondokannya, UMNO-PASnya, banjirnya membuatkan se0lah-olah kita membaca teks sejarah negeri Kelantan. Banyak catatan peristiwa yang terdapat di dalamnya. Amat rugi jika tidak membacanya. Nah jika anda seorang rakyat negeri Kelantan pastikan buku ini telah anda baca.
Cerita Adam merupakan sebuah novel remaja yang mengisahkan pergolakan hidup remaja, Adam dalam mengharungi/mendepani hidup selepas kematian ayahnya. Amat menarik dalam memahami psikologi remaja, terutamanya lelaki yang dikaitkan dengan darah muda dan sifat keras hati. Dapatkanlah!