Friday, December 26, 2008

Kenangan

Kami meninggalkan PP dengan penuh kenangan. Sehabis daftar keluar, si isteri ingin pergi melihat Queen Mall. Setelah dua kali berpusing kami sampai di situ. Biasa saja keadaan di sesebuah pasar raya besar. Kami singgah sarapan/makan tengah hari di restorannya. Selepas sedikit berjalan-jalan kami terus keluar untuk balik ke Sg Cenaam. Kesimpulannya PP suatu tempat yang selesa untuk pergi bercuti. Cuma kena pandai mencari tempat makan yang sedap. Kami berjanji untuk ke sana lagi tetapi untuk menyewa di Hotel Vistana dengan harga yang kami dapat mungkin tidak lagi pada masa akan datang.

Wednesday, December 24, 2008

Hari Kedua

Selepas sarapan (makan roti aje) kami hendak ke Batu Feringgi. Rancangan kami ingin mengelilingi PP. Memandu dengan berpandukan papan tanda. Agak mudah dan kami berhasil menemui tempat tersebut. Ikut saja papan tanda menghala ke Batu Feringgi. Dalam perjalanan ke situ akan menemui tanda arah ke Persiaran Gurney. Aku masih ingat lagi pernah ke situ kerana program Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) di Hotel Gurney. Sesampai di Batu Feringgi, putera kecilku merengek nak mandi laut. Kami memang tidak bercadang untuk mandi. Hanya mahu berpusing di PP ini. Dari Bt Feringgi kami ke Teluk Bahang. Di situ kami berhenti sebentar. Berhenti di gigi pantai yang boleh dikatakan tiada orang (hari bekerja). Sempat bergambar. Di situ juga terdapat satu kawasan macam taman botani (bunga-bungaan) namun selepas melihat harga kemasukannya kami membatalkan untuk masuk. Tambahan pula si puteri kecil tidak mahu berjalan. Berdukung saja. Penat. Terus memandu ke menuju ke Balik Pulau. Singgah di Taman Rama-rama. (Catatan lain akan menyusul, sepanjang hari ini akan mengikuti seminar. Perlu bersiap untuk itu).

Monday, December 22, 2008

Hari pertama

Tepat waktu 12.45 tengah hari, kami telah menjejakkan kaki untuk kali yang kedua di negeri Pulau Mutiara ini. Seusai mendaftar masuk di Hotel Vistana (bilik apartmentnya boleh muat 2 atau tiga keluarga kecil kami segera mencari tempat makan tengah hari. Isteri dah mula menyinga kerana waktu makan tengah harinya sudah terlewat. Asalnya kami ingin menjamu selera di Kompleks Bukit Jambul, pusing punya pusing, tempat medan seleranya amat tidak memuaskan. Dalam keadaan panas terik kami membawa putera dan puteri ke sebuah kedai makan. Si isteri memesan nasi goreng ayam dan aku memesan tomyam sotong dengan air oren segar. Sesudah makan kami terus memulakan perjalanan. USM, aku mencadangkan, kerana itulah tujuan rasmi aku ke sini. Bermula pada tanggal 23 hingga 24 Disember 2008 akan diadakan persidangan kebangsaan sastera remaja yang dianjurkan bersama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan USM. Setelah berpusing-pusing di USM, kami singgah di Tesco, Sungai Dua untuk membeli sedikit makanan dan minuman ringan. Dari Sungai Dua, kami terus ke Bayan Lepas untuk melihat Lapangan Terbangnya. Sama macam dulu, jelas isteri. Dari sana kami pusing-pusing (jangan risau jika tersesat) kerana jalan keluar mudah dicari. Ingatkan nak singgah di rumah saudara (di Sungai Dua) tapi tengoklah nanti. Kami balik semula ke hotel untuk berehat dan mandikan putera dan puteri. Malamnya si isteri sudah menelefon sepupunya untuk membawa kami ke tempat makan paling best di Pulau Pinang ini.

Saturday, December 20, 2008

Tiada

Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah.
Tiada yang memberikan kita kesenangan dan kepayahan melainkan Allah SWT.
Tiada yang memberikan bahagia dan derita melainkan Allah SWT.
Tiada yang dapat menyembuhkan dan memberikan sakit melainkan Allah SWT.
Tiada yang dapat memberikan kita harta, anak-anak dan semua yang ada di dunia ini melainkan Allah SWT.
Tiada yang dapat memberikan musibah dan rahmat melainkan Allah SWT.
Tiada yang lebih berkuasa daripada Allah SWT.
Oleh itu, ucapkanlah lailahaillallah. Semoga kita sentiasa dapat memperbaharu iman dan amal serta menginsafi tugas sebenar kita dihadirkan ke muka bumi ini hanyalah menyampaikan kalimah tauhid lailahaillallah. Kita sentiasa sibuk dengan urusan harian dan tugasan. Kita sentiasa sibuk dengan tuntutan keduniaan. Kita sentiasa sibuk dengan urusan keluarga, masyarakat dan orang perseorangan. Kita sentiasa sibuk dengan hal yang hasilnya nanti menyusahkan kita di ‘alam’ sana. Kita terlupa dengan ‘mahkota kerja’ yang Allah berikan selepas wafatnya Rasulullah, iaitu terus menyampaikan kalimah LAILAHAILLALLAH. Marilah kita berazam dan bertekad untuk kembali menginsafi tugas sebenar kita itu.

Thursday, December 18, 2008

Kapal




Pada dua atau tiga minggu lepas, aku sempat membaca sebuah novel bertajuk Kapal (DBP, 2008). Di sini aku cuba untuk berkongsi di samping promosi. Novel Kapal karya Othman Haji Zainuddin merupakan sebuah kisah perjalanan haji yang dilakukan dengan menaiki kapal laut (sebelum adanya perkhidmatan kapal terbang). Perjalanan yang memakan masa yang panjang (hampir 3 atau empat bulan). Anyaman ceritanya amat menarik. Tambahan pula masih lagi musim haji menjadikan novel ini sangat relevan untuk dibaca oleh bakal-bakal haji dan hajah. Namun, novel setebal 691 halaman ini tidak keseluruhannya menceritakan ibadah haji. Ada ramuan dan bumbu yang diadun bagi melazatkan lagi pembacaan novel ini. Ikatan percintaan dan kasih sayang yang kukuh antara Jusef dengan Meriam “Meriam” disambung pula dengan jalinan hubungan antara Juhara dengan Bakhtiar ditambah pula dengan perwatakan Lebai Mat Ali menjadikan pembaca akan terpaku terus membaca novel ini. Dapatkanlah segera!!!

Tuesday, December 16, 2008

Hidup bermasyarakat

Kita tidak mampu hidup sendiri-sendiri, andai kecemasan jiran terdekatlah yang dicari. Kita hidup bermasyarakat, susah dan senang kita sepakat. Kita hidup bantu-membantu, perkara susah sama dibahu. Kita hidup bermuafakat, sehati sejiwa mengharap berkat. Rezeki yang ada bukan sepenuhnya untuk kita, ada yang perlu kita infakkan untuk masyarakat dan perkara lain. Moga-moga rezeki itu akan bertambah lagi hendaknya. Biarlah hidup kita seperti lilin membakar diri menerangi yang lain daripada kita hidup seperti enau yang melepaskan pucuknya sendiri.

Thursday, December 11, 2008

blurb

Gurindam III
Ini gurindam pasal yang ketiga:
Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah,
nescaya dapat daripadanya faedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
keluarlah fi'il yang tiada senonoh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
di situlah banyak orang yang hilang semangat.
Hendaklah peliharakan kaki,
daripada berjalan yang membawa rugi.

* * *
Antara tugas editor yang agak memeritkan dan memerah keringat fikiran ialah membuat blurb buku dan visual kulit. Saya nak berkongsi perkara blurb dahulu. Yang visual kulit itu akan dibicarakan kemudian. Blurb merupakan sebahagian daripada kulit buku. Letaknya di belakang kulit buku. Mengikut Gaya Dewan blurb merupakan bahan pengiklanan khusus untuk memerihalkan buku yang ditulis. Kesimpulannya, blurb ialah ruang iklan yang paling berkesan untuk mempromosikan buku tersebut dan terus dibeli oleh pembaca. Pembeli tidak akan membaca bab atau perenggan demi perenggan untuk mengetahui buku tersebut. Memadailah dengan membaca blurb. Para editor akan memanipulasikan sesebuah hasil karya untuk dimuatkan pada bahagian blurb ini. Andainya mampu menarik minat, pembaca akan membeli buku tersebut. Saya tidaklah mengatakan bahawa potensi buku tersebut untuk dibeli melalui blurb akan tetapi ia merupakan tarikan yang pertama selepas visual kulit. Saya mengandaikannya begini, seseorang yang kurang cantik namun setelah diberikan sedikit make-up maka yang kurang cantik akan menjadi cantik. (Selalunya ini kerja Kak Lah). Begitulah hasil sesebuah penerbitan. Selalunya saya mengambil masa 2-3 hari untuk menyiapkan satu blurb. Dan selalunya terlebih hari....

Saturday, November 29, 2008

Menulis!!!

Gurindam II
Ini gurindam pasal yang kedua:
Barang siapa mengenal yang tersebut,

tahulah ia makna takut.
Barang siapa meninggalkan sembahyang,
seperti rumah tiada bertiang.
Barang siapa meninggalkan puasa,
tidaklah mendapat dua temasya.
Barang siapa meninggalkan zakat,
tiadalah hartanya beroleh berkat.
Barang siapa meninggalkan haji,
tiadalah ia menyempurnakan janji.

***

Cuba-cubalah menulis. Kata-kata sedemikian sering kali terlafaz apabila bertemu dengan kawan-kawan penulis. Malah ketua bahagian dan pengarah pun kerap kali berkata sedemikian. Dan kak lah sendiri pun banyak memberikan tip-tip yang baik untuk menulis (malah sudah pun memberi tajuk dan jalan cerita). Akan tetapi masih juga tidak jadi atau sudah tiap-tiap cerita. Ada penceramah kursus penulisan menegaskan bahawa bakat bukan perkara pertama dan penting dalam bidang penulisan. Yang paling utama ialah kerja keras. Namun aku ada bertanya kepada seorang penceramah, begini, apabila kita sudah ada tajuk dan ada cerita malah sudah ada pengakhirannya tetapi kita tersekat di tengah-tengahnya bagaimana tanyaku. Maka dia menjawab, kita balik kembali kepada bakat. Aku setuju dengan itu. Bakat merupakan satu anugerah. Namun cuba-cuba juga untuk menulis, sekurang-kurangnya entri ini dan blurb buku. Kalau semua jadi penulis siapa pula yang nak pembaca!!!

Tuesday, November 25, 2008

Seminar Puisi Tradisional

Gurindam I
Ini gurindam pasal yang pertama:
Barang siapa tiada memegang agama,
sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat,
maka ia itulah orang yang ma'rifat.
Barang siapa mengenal Allah,
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri,
maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia,
tahulah ia barang yang terpedaya.
Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah Ia dunia mudarat.

Gurindam di atas merupakan sebahagian daripada gurindam 12 karangan Raja Ali Haji. Minggu ini aku menghadiri Seminar puisi melayu tradisional anjuran bahagian Kesusasteraan Tradisional, DBP. Secara kesimpulannya ia merupakan seminar yang perlu dibuat secara tahunan bagi mengenengahkan puisi tradisional. Tema kali ini berfokus pada pantun, nazam dan gurindam. Aku sangat berharap mungkin pada tahun hadapan dapat memfokuskan pula pada subjek teromba, talibun, mantera dan seumpamanya yang amat kurang pembahasannya. Dan satu lagi cadangan pertandingan pantun itu ditukar pula dengan pertandingan syair yang rata-rata ramai yang terpegun mendengarkan dendangan syair pada hari pertama seminar. Tahniah kepada sahabat Muzasliza kerana membentangkan kertas. Dan lagi satu, di seminar itulah aku mengetahui yang membentangkan kertas pada hari kedua itu rupa-rupanya isteri jiran yang sama-sama berjemaah di surau. Tahniah kepada staf bahagian Kesusasteraan Tradisional DBP.

Monday, November 24, 2008

Aku suka nak kongsikan satu cerita. Ceritanya begini, fasal satu buku. Buku novel, tajuknya, ha ini yang nak diceritakan tu. Tajuknya Tirani. Semua mesti nak tahu apa itu tirani. Mengikut Kamus Dewan begini maknanya:
tirani corak pemerintahan yg zalim (oleh pemimpin negara, puak, dll) yg menggunakan kekuasaan sesuka hati.
Novel Tirani itu pula menceritakan kisah tentang kecantikan. Ada yang bertanya apa kaitan kecantikan dengan tirani. Itu yang agak payah nak jelaskan. Tapi aku nak berkongsi lagi dengan lebih terperinci lagi perkataan tirani ini.
Tirani ialah istilah yang digunakan dalam sejarah untuk menggambarkan corak pemerintahan oleh seorang pemerintah yang mempunyai kuasa mutlak. Pada zaman Yunani purba, tirani bermaksud pemerintahan mutlak oleh seorang pemerintah. Kebanyakan tirani Yunani adalah pemerintahan yang baik dan bertanggungjawab. Istilah tirani boleh juga digunakan untuk merujuk kepada kerajaan yang diperintah oleh
pemerintah mutlak yang mendapat kuasa melalui kekerasan tentera atau muslihat politik. Pemerintah seperti ini tidak akan mendapat sokongan majoriti rakyat dan perlu menggunakan kekerasan untuk mengekalkan kekuasaan. Satu lagi maksud tirani ialah kerajaan yang menggambarkan seorang atau sekumpulan orang yang memerintah dengan kejam, menindas, atau tidak adil. Dalam kebanyakan kes, pemerintah seperti ini menggunakan kuasa untuk kepentingan diri. Pemimpin mutlak yang menggunakan kuasa mereka untuk mengaturkan cara hidup rakyat, boleh juga dinamakan tirani sekiranya dia menindas hak kebebasan rakyat. Kini, perkataan tirani biasanya digunakan untuk menggambarkan pemerintahan diktator. Lihat juga Pemerintahan diktator. (Ensiklopedia Dunia DBP)

Kesimpulannya, adakalanya tajuk sesebuah penerbitan itu amat memainkan peranan utama dalam memikat hati pembeli. Pilihlah tajuk yang agak luar biasa yang menyebabkan seseorang berminat ke atasnya. Dalam konteks novel Tirani, dari segi pemilihan tajuk agak bertepatan dengan kesimpulan di atas. Oleh itu, cubalah mencari buku tersebut dan jemputlah membacanya.

Thursday, November 20, 2008

Awal Kalam

Selalunya pertama dikaitkan dengan perkara-perkara yang indah dan menyeronokkan. Contohnya malam pertama (bestnya!!!), cinta pandang pertama, orang yang pertama dan macam-macam lagi. Maka orang akan bersungguh-sungguh untuk menghadapi yang pertama itu. Benarlah kata untuk jadi/mencari yang pertama itu amat sukar, payah, susah dan sebagainya. Tulisan membicarakan pertama inilah yang merupakan entri permulaan aku dalam blog ini. Terima kasih kepada rakan, Mar yang sudi melahirkan blog ini. Budi tuan tidakkan saya lupa. Tahniah Kak Lah dinobatkan Karyawan Terbaik.