Thursday, December 11, 2008

blurb

Gurindam III
Ini gurindam pasal yang ketiga:
Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadalah damping.
Apabila terpelihara lidah,
nescaya dapat daripadanya faedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
keluarlah fi'il yang tiada senonoh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
di situlah banyak orang yang hilang semangat.
Hendaklah peliharakan kaki,
daripada berjalan yang membawa rugi.

* * *
Antara tugas editor yang agak memeritkan dan memerah keringat fikiran ialah membuat blurb buku dan visual kulit. Saya nak berkongsi perkara blurb dahulu. Yang visual kulit itu akan dibicarakan kemudian. Blurb merupakan sebahagian daripada kulit buku. Letaknya di belakang kulit buku. Mengikut Gaya Dewan blurb merupakan bahan pengiklanan khusus untuk memerihalkan buku yang ditulis. Kesimpulannya, blurb ialah ruang iklan yang paling berkesan untuk mempromosikan buku tersebut dan terus dibeli oleh pembaca. Pembeli tidak akan membaca bab atau perenggan demi perenggan untuk mengetahui buku tersebut. Memadailah dengan membaca blurb. Para editor akan memanipulasikan sesebuah hasil karya untuk dimuatkan pada bahagian blurb ini. Andainya mampu menarik minat, pembaca akan membeli buku tersebut. Saya tidaklah mengatakan bahawa potensi buku tersebut untuk dibeli melalui blurb akan tetapi ia merupakan tarikan yang pertama selepas visual kulit. Saya mengandaikannya begini, seseorang yang kurang cantik namun setelah diberikan sedikit make-up maka yang kurang cantik akan menjadi cantik. (Selalunya ini kerja Kak Lah). Begitulah hasil sesebuah penerbitan. Selalunya saya mengambil masa 2-3 hari untuk menyiapkan satu blurb. Dan selalunya terlebih hari....

No comments: