Thursday, July 28, 2011

Bersyukurlah

Nasib orang tidak sama. Ada yang susah. Ada yang lebih susah. Ada yang berganda-ganda susah. Kita sering mengukur diri dengan orang lain dengan indikator "kekurangan". Kita melihat apa kelebihan orang, yang kita tidak memilikinya. Percayalah sehingga akhirnya, kita tidak akan dapat apa-apa kerana kita berusaha untuk melebihi apa yang orang lain ada. Sebetulnya perbandingan dibuat dengan melihat apa yang kita ada, tiada pada orang lain. Dengan itu, sifat syukur akan terbit dalam hati. Keinsafan akan datang dengan sendiri. Mulut akan sentiasa memuji Allah atas kurniaan yang diberi.

Monday, February 21, 2011

Kadang-kadang ii

Kadang-kadang kita cuba untuk menjadi orang lain. Kita sering berangan dengan menyatakan “wah bagus betul kalau macam ni”. Natijahnya kita cuba untuk mengikuti seseorang yang dianggap “bagus” itu. Semasa kecil kita kerap kali ditanyai, “Siapa yang menjadi minat kamu?” Selalunya kita membariskan pelbagai nama pemimpin (paling kerap bercita-cita ingin menjadi Perdana Menteri). Namun kita terlupa bahawa itu semua merupakan satu rangsangan yang kalau dikira peratusan kejayaannya mengubah seseorang tidaklah lebih daripada 20-30 peratus. Mengapa kita tidak menjadi diri kita sendiri? Mengapa kita tidak bangga dengan diri kita? Mengapa kita perlu mengikut atur cara orang lain untuk kehidupan seharian kita dan mengapa kita tidak menjadi diri kita yang sebenarnya.