Wednesday, January 28, 2009

Tunang Tuk Dukun

Hujung minggu lalu menghadiri majlis pertunangan saudara lelaki dengan lawannya di kampung sebelah. Syukur kerana kali ini dapat orang sekampung tidaklah perlu memikirkan sangat kos petrol dan tol. Sesampai di rumah pihak perempuan rombongan kami disambut gerimis tebal. Terus masuk ke dalam rumah. Pihak kami terus memulakan majlis. Jurucakap kami (kebetulan menjadi bidan terjun) terus membuka jalan menyuarakan hasrat. Alhamdulillah perjalanan teratur dan aku dijemput membacakan doa. Dan selepas itu kami dijemput menjamu selera. Cuma yang agak kurang menyenangkan bagiku ialah dara yang telah/akan ditunangkan itu memakai baju lengkap macam pengantin mungkin siap jurusolek lagi. Kenapa begitu? Kan lebih elok pakai baju kurung. Lebih manis begitu. Ini belum lagi cerita bergambar dengan tunang lelaki!

Wednesday, January 21, 2009

Orang itu

Selalunya kita membuat sesuatu keputusan awal (belum muktamad) berdasarkan apa yang telah kita dengar tentang seseorang melalui orang lain. Dan apa yang kita dengar itu (melalui orang lain) yang terpahat kukuh dalam ingatan kita ialah keburukan orang itu walaupun begitu banyak kebaikannya. Dalam agama, kita disarankan bersangka baik dalam setiap perkara. Yang buruk-buruk itu semuanya jarum-jarum syaitan. Tanggapan kita terhadap seseorang yang belum kita kenali itu kebanyakannya menjurus kepada benda yang negatif. Hakikatnya, perkara tersebut amat bertentangan malah tidak benar sama sekali andai kita telah bersua/bertemu dengan orang itu. Yang utama ingin ditegaskan di sini, simpanlah sedikit tanggapan yang positif terhadap seseorang kerana sesungguhnya Allah jua yang mengaturkan sesuatu.

Monday, January 19, 2009

Ayat

a) Juriah yang tertidur di atas kaus lusuh terjaga apabila mendengar pintu rumah dibuka.
Dia duduk di kaus membuka stoking.
Juriah tersenguk-senguk di atas kaus menunggu Ardi.

Rata-rata pembaca akan mentafsir makna kaus itu sebagai kasut atau stoking. Namun ayat di atas bukan salah. Agak-agak apa makna kaus itu ya!

b) Dia membuka mata dan nampak mata pisau yang ditekan kuat pada kulit lengannya berdarah

Ayat b) di atas mengikut pola kegramatisan ayat dalam bahasa Melayu namun ... ada sesiapa boleh komen???

Wednesday, January 14, 2009

Doa

Ya Allah Tuhan Seluruh Alam
Segala puji-pujian buat-Mu Tuhan yang menciptakan
Sesungguhnya kami menginsafi tujuan dan tanggungjawab kami diciptakan
Hanya membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Ya Allah Tuhan yang mendatangkan kebaikan dan keburukan
Kami ini tiada kuasa melawan kudrat-Mu
Kami ini tiada harta melawan kekayaan-Mu
Sesungguhnya kami ini hanya hamba yang selayaknya mengerjakan apa jua perintah-Mu
Maka oleh sebab itu ya Allah, kami pohon akan kekuatan daripada-Mu untuk kami mengerjakan amal soleh
kami pohon akan kemudahan dalam hidup
kami pohon kesejahteraan di dunia dan di akhirat
kami pohon akan keberkatan dalam rezeki
kami pohon sifat takwa, tunduk dan khusyuk dalam beribadah kepada-Mu.

Ya Allah kami reda atas ketentuan kami sebagaimana yang telah Engkau
firmankan melalui ayat-ayat-Mu
Datangkanlah sifat takwa dalam diri kami kerana dengannya Engkau
memberikan jalan keluar
Dengan takwa juga Engkau memberikan rezeki kepada kami tanpa kami
menyedari
Kami juga bertawakal kepada-Mu kerana barang siapa yang bertawakal
nescaya Engkau akan mencukupkan keperluannya.
Sesungguhnya Engkau melaksanakan urusan yang Engkau kehendaki
Sesungguhnya Engkau telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

Ya Allah Tuhan yang Maha Penyayang
Bantulah saudara-saudara kami yang kesusahan di Palestin
Hancurkanlah ikatan tentera Zionis sebagai mana Engkau menghancurkan
tentera Abrahah
Berikanlan kekuatan kepada umat Islam Palestin dalam menghadapi derita
peperangan
Kepada-Mu kami mohon perkenan.

Wednesday, January 7, 2009

Promosi! Promosi! Promosi!

Untuk cuti yang selama 10 hari, aku membawa tiga buah novel untuk dibaca. Orang Kota Baru (SN S. Othman Kelantan), Cerita Adam (Baharuddin Kahar) dan Jalan Pulang (Anas K. Hadimaja). Antara ketiga-tiga tersebut hanya Orang Kota Baru dan Cerita Adam berjaya kuhabiskan. OKB memaparkan kisah negeri Kelantan (jika anda anak kelahiran Tanah Serendah Sekebun Bunga Cerang Tenggayung semestinya anda memiliki buku ini!) yang boleh dikatakan diceritakan secara menyeluruh sekali. Dengan cerita pasarnya, sonya pemondokannya, UMNO-PASnya, banjirnya membuatkan se0lah-olah kita membaca teks sejarah negeri Kelantan. Banyak catatan peristiwa yang terdapat di dalamnya. Amat rugi jika tidak membacanya. Nah jika anda seorang rakyat negeri Kelantan pastikan buku ini telah anda baca.
Cerita Adam merupakan sebuah novel remaja yang mengisahkan pergolakan hidup remaja, Adam dalam mengharungi/mendepani hidup selepas kematian ayahnya. Amat menarik dalam memahami psikologi remaja, terutamanya lelaki yang dikaitkan dengan darah muda dan sifat keras hati. Dapatkanlah!