Friday, May 1, 2009

1.13

Selamat Hari Pekerja. Hari ini bersembahyang Jumaat di Surau al-Mujahidin BBB. Khutbah yang sangat menarik. Khatibnya rasa2 macam seorang bekas pensyarah. Nanti nak tanya jiran siapa namanya. Sepuluh minit yang pertama dia mengupas persoalan yang biasa dinyatakan oleh seseorang khatib dalam setiap khutbah Jumaat, keperluan bertakwa kepada Allah. Kebanyakan masjid yang telah saya pergi, khatibnya sekadar menyebut ayat "Bertakwalah kita dengan sepenuh-penuhnya..." akan tetapi pada kali ini khatibnya mengupas mengapa setiap Jumaat itu perlu diperingatkan jemaahnya akan kalimah tersebut. Apa yang menariknya, khatib mengajak jemaah berfikir mengapa kalimah takwa itu disebut di dalam rumah Allah sedangkan yang jemaahnya memang sudah mempunyai sifat tersebut. Tanpa takwa jemaah tidak akan datang ke masjid, mendengar khutbah dan seterusnya menunaikan solat Jumaat. Khatib menghuraikan bahawa takwa memang perlu diingatkan di mana-mana kita berada. Kerana apa? Jawab yang mudah kerana musuh manusia tidak pernah lupa untuk menyesatkan manusia daripada jalan yang benar. Siapa musuh manusia? Tentulah iblis laknatullah. Sepuluh minit yang kedua, khatib membicarakan makna tanggungjawab manusia di hantar ke muka bumi ini. Ada dua tanggungjawab khalifah Allah, iaitu membangunkan bumi dan yang keduanya, membangunkan sifat-sifat kasih sayang, kebajikan, dan segala sifat2 yang terpuji. Yang aku amat tertarik ialah khatib menggunakan perkataan kebumian. Seperti frasa tanggungjawab2 kebumian yang maksudnya tanggungjawab manusia kepada muka bumi ini.
Khutbah kedua khatim membawa cerita seorang wanita di madinah pada zaman Nabi. Dalam keadaan kota Madinah yang seluruh penduduknya taat dan patuh dengan amalan Islam tambahan lagi dengan bimbingan secara langsung daripada Baginda Rasulullah, wanita tersebut telah berjumpa Nabi membuat pengakuan bahawa dia telah berzina. Nabi tidak memandang wanita tersebut dan menyuruhnya pulang. Wanita tersebut mengatakan bahawa dia telah mengandung dan minta dihukum. Nabi menyuruh wanita tersebut pulang dan lahirkan anak itu dahulu. Sesudah melahirkan wanita itu datang lagi berjumpa Nabi meminta dihukum. Nabi menyuruh lagi dia pulang untuk menyusukan anak kecilnya itu. Sesudah anaknya itu berhenti menyusu, dia datang lagi berjumpa Nabi meminta dihukum. Di sini kita lihat bahawa wanita tersebut benar2 menyesali perbuatannya walaupun dia berpeluang untuk melarikan diri kerana suruhan2 Nabi sebelumnya. Akhirnya wanita tersebut dijatuhkan hukuman rejam. Waktu Nabi ingin menyembahyangkan jenazahnya Umar telah menegah baginda dengan mengatakan bahawa wanita tersebut seorang penzina. Baginda menyuruh Saidina Umar diam dan mengatakan bahawa dengan taubat wanita tersebut sebanyak 70 taubat orang penduduk Madinah telah diterima Allah.
Banyak peringatan yang amat penting dalam solat Jumaat kali ini. Khatib berjaya membawa tugas yang diamanahkan. Semoga khatib tersebut diberi rahmat kesihatan dan kemurahan rezeki kepadanya.

1 comment:

Novelis Aleya Aneesa said...

Ya, semoga khatib itu sentiasa ada dalam rahmat Allah. Merenung diri sendiri, membandingkan pula dengan cerita khatib itu, terasa betapa kerdilnya diri...